Kes tibi cecah 3,161 kes, batuk berpanjangan perlu disaring
Kes tibi cecah 3,161 kes, batuk berpanjangan perlu disaring

Kes tuberkulosis (TB) di negara ini melepasi 3,161 kes setakat 21 Februari 2026 sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap penularan berterusan dalam komuniti, menurut data terkini Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga Minggu Epidemiologi ke-6 (ME-6/2026). Foto hiasan AFP
ByMuqri Aziz #bm, Berita Sarawak
KUCHING, 24 Feb: Kes tuberkulosis (tibi) di negara ini mencecah lebih 3,161 kes setakat 21 Februari 2026, menurut data terkini Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga Minggu Epidemiologi ke-6 (ME-6/2026), sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap penularan dalam komuniti.
KKM memaklumkan peningkatan kes dikaitkan dengan transmisi berterusan, khususnya dalam persekitaran tertutup serta aktiviti sosial yang kerap.
Ketua Ahli Farmasi Alpro, Lim En Ni berkata orang ramai tidak seharusnya memandang ringan batuk berpanjangan kerana ia antara simptom awal tibi yang sering terlepas pandang.
“Jika batuk berlanjutan lebih dua hingga tiga minggu, walaupun tanpa demam tinggi, individu perlu menjalani X-ray dada atau ujian kahak. Ubat batuk hanya melegakan simptom, bukan merawat TB. Pengesanan awal meningkatkan kadar kejayaan rawatan dan melindungi ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan tibi berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara apabila pesakit batuk atau bercakap, dengan bakteria boleh kekal terapung di ruang tertutup yang kurang pengudaraan selama beberapa jam.
Antara gejala lazim termasuk batuk melebihi dua hingga tiga minggu, demam ringan pada waktu petang, berpeluh malam, penurunan berat badan tanpa sebab dan keletihan berpanjangan.
Walaupun KKM menegaskan tibi boleh dirawat sepenuhnya, rawatan standard memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan dengan pematuhan ubat secara konsisten.
Lim turut mengingatkan pesakit supaya tidak menghentikan rawatan walaupun ketika musim perayaan atau bercuti kerana setiap dos yang tertinggal meningkatkan risiko rintangan ubat.
Sebagai langkah pencegahan, orang ramai disaran memastikan pengudaraan rumah yang baik, menjalankan aktiviti luar, memakai pelitup muka jika bergejala, mengawal gula dalam darah, mendapatkan rehat mencukupi serta menjalani saringan jika mempunyai sejarah kontak rapat. – TVS
Baca artikel asal di sini: TVSARAWAK