Senaman regangan bantu redakan ketegangan otot

By Alpro Pharmacy

October 21, 2024

Aktiviti seperti menggalas bebanan berat di bahu atau memiliki postur badan yang tidak seimbang hingga menimbulkan kesakitan, boleh menjadi punca kepada seseorang itu mengalami tekanan.

Bukan setakat itu saja, jika duduk bekerja berjam-jam lamanya di pejabat tanpa bergerak terlalu banyak juga berpotensi untuk berdepan dengan masalah ini.

Tetapi ramai yang tidak menyedari perkara itu kerana bagi mereka, kesakitan dialami seperti rasa tegang atau sakit di bahagian tengkuk dan juga bahu bukanlah perkara serius dan boleh hilang dalam tempoh masa tertentu.

Bagaimanapun, situasi itu boleh berubah menjadi kronik apabila berlaku ‘penggunaan’ berlebihan terhadap keupayaan tubuh badan dalam tempoh masa yang panjang, hingga mengundang kepada masalah seperti sakit tulang belakang (slipped disc).

Menurut fisioterapi Alprophysio, Joachim Pietro Loh, gejala kesakitan yang dialami itu dikaitkan dengan otot bahu yang memiliki fungsi utama untuk menyokong pergerakan lengan, seperti mengangkat, memutar, dan menarik.

Dalam erti kata lain, otot bahu memainkan peranan penting untuk melindungi badan daripada sebarang tekanan berat.

“Otot bahu juga berfungsi untuk ‘memegang’ tulang sendi bahu pada tempatnya, membantu menggerakkan tangan dan melindungi sendi bahu.

“Pada masa sama, otot bahu juga akan bertindak untuk membantu seseorang bernafas dengan baik kerana setiap kali bernafas, otot bahu juga akan bergerak sama.

“Jadi pergerakan lancar yang berlaku pada otot bahu itu akan membantu seseorang mendapat oksigen yang lebih baik,” katanya kepada BH.

Bagaimanapun, jelasnya apabila berlaku kecederaan terhadap otot bahu disebabkan oleh dua jenis kesakitan iaitu mekanikal dan postur badan, ia akan menyebabkan tekanan, sekali gus mengganggu urusan pekerjaan seharian.

Malah, ia boleh juga mengganggu sistem pernafasan seperti kekurangan oksigen yang akhirnya boleh mengganggu pemikiran seseorang.

“Kesakitan disebabkan oleh mekanikal dan postur badan dikenal pasti berpunca daripada sendi, tulang lembut (cakera) dikenali sebagai cakera intervertebra.

“Namun kesakitan mekanikal berlaku ketika itu saja seperti menggalas beg, kesakitan daripada postur badan adalah berpanjangan disebabkan ketidakseimbangan.

“Sekiranya tidak diatasi secepatnya, anda mungkin boleh berdepan dengan masalah slip disc yang kronik,” katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa bentuk postur badan seseorang seperti normal, lordosis, khyhosis, flat back, sway back dan scoliosis.

Menyedari perkara itu perlu diatasi pada peringkat awal, Joachim berkata, perkara utama bagi mengelakkan daripada kesakitan itu berterusan, individu perlu sentiasa bergerak atau mengubah posisi kedudukan dengan melakukan regangan ringkas.

“Memiliki postur badan yang baik sangat bagus kerana jika seseorang menggunakan otot bahunya dengan betul, ia akan mengurangkan tekanan di satu bahagian saja, mengurangkan risiko kecederaan atau kesakitan dan mengoptimumkan prestasi badan.

“Bagaimanapun, tidak semua orang boleh bertahan dalam satu bentuk posisi kedudukan, jadi seeloknya mereka perlu berubah kedudukan dengan berjalan sebentar, melakukan senaman ringan setempat dengan menggerakkan semua bahagian anggota badan.

“Ataupun mereka boleh duduk di kerusi dengan apa saja posisi kedudukan semata-mata ingin melepaskan rasa sakit itu dan mengelak tekanan daripada berlaku,” katanya.

Joachim juga berpendapat, mengubah tempat kerja seperti meletakkan komputer di aras yang betul, mendapatkan rehat secukupnya, kerusi pejabat yang selesa juga boleh menjadi faktor tambahan untuk memastikan tubuh seseorang itu berada pada tahap terbaik.

Langkah senaman kurangkan tekanan di tempat kerja

Regangan Atas:

1. Letakkan sebelah tangan di bawah kerusi atau di bawah riba anda.

2. Gunakan tangan anda yang sebelah lagi untuk menarik kepala anda ke arah yang bertentangan. Tahan selama 20 saat.

3 & 4. Ulang pada sebelah bahagian yang lain pula.

Regangan Tulang Belakang:

5. Lengkungkan belakang anda dan tahan kedudukan itu selama 20 saat.

Regangan Bawah Belakang:

6. Duduk tegak dan buka sedikit kaki anda.

7. Kedua-dua tangan ke bawah serendah mungkin. Tahan selama 20 saat

Regangan Bahu:

8. Duduk tegak dengan tangan terangkat 120 darjah.

9. Tarik lengan ke belakang dan gerakkan bahagian tengah belakang bersama-sama. Tahan selama 10 saat.

 

 

Generate Cart URL
Whatsapp