FWD Takaful perkenal pelan perubatan untuk individu sindrom down

By Alpro Pharmacy

March 20, 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

mohdzulfadli@dagangnews.com 

KUALA LUMPUR 20 Mac – FWD Takaful Bhd memperluaskan manfaat pelan perubatan FWD SpecialMed merangkumi individu yang mengalami sindrom down dan masalah pembelajaran.

FWD Takaful dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelan perubatan itu turut menawarkan diskaun sebanyak 20% untuk pelanggan yang mendaftar untuk mengambil perlindungan tersebut. 

“Mendapatkan perlindungan bagi individu yang mengalami masalah pembelajaran, termasuk sindrom down amat mencabar, kerana pengecualian yang biasanya terdapat dalam pelan insurans atau takaful.

“Untuk menangani isu ini, FWD SpecialMed mengutamakan keperluan individu dengan masalah pembelajaran tahap ringan hingga sederhana serta membantu menyelesaikan cabaran utama yang mereka hadapi semasa mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.

Terdahulu, FWD Takaful memperkenalkan perlindungan yang dipertingkatkan untuk pelan FWD SpecialMed and FWD CI First, yang menawarkan akses kepada perlindungan dan memperluaskan jaringan keselamatan kewangan kepada segmen yang kurang mendapat kemudahan di Malaysia. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Salim Majid Zain berkata, pihaknya percaya setiap orang berhak mendapat perlindungan yang mereka perlukan.

Katanya, mereka juga merancang untuk meluaskan skop perlindungan untuk merangkumi hilang upaya dan penyakit sedia ada yang lain pada masa hadapan.

“Kami sentiasa berusaha untuk mengambil tahu keperluan komuniti dan menawarkan perlindungan yang paling sesuai, dan mengubah pandangan orang ramai tentang takaful,” katanya.

Sementara itu, FWD Takaful turut menawarkan pelan perubatan FWD CI First kepada pengidap diabetes yang sering menghadapi kesukaran mendapatkan perlindungan atau menanggung kos rawatan di masa hadapan. 

FWD CI First ditawakan kepada individu yang didiagnosis dengan diabetes Jenis 2 yang menawarkan perlindungan sekiranya berlaku penyakit kritikal dan penyakit kritikal yang tidak boleh dirawat. 

Untuk melengkapkan tawaran ini, FWD Takaful bekerjasama dengan Alpro Pharmacy untuk menyediakan program pengurusan diabetes secara percuma untuk membantu pelanggan diabetes Jenis 2 yang telah menyertai FWD CI First dalam memantau, mengawal dan menambah baik tahap glukosa mereka. 

Pelanggan boleh membayar sumbangan yang lebih rendah untuk 3 tahun pertama sijil sebagai ganjaran sekiranya mereka berjaya mengawal tahap glukosa dengan baik. – DagangNews.com

Generate Cart URL
Whatsapp