Apabila datangnya bulan suci ramadan, murtabak menjadi salah satu juadah pilihan untuk dijadikan sebagai juadah untuk berbuka puasa. Murtabak datang dalam pelbagai bentuk dan inti, seperti daging cincang atau isi ayam selain pilihan lain berintikan keju dan mi yang lebih moden.
Walaupun ianya sedap dimakan, harus diingat bahawa murtabak mempunyai kandungan kolesterol dan lemak yang tinggi, maka ia harus dinikmati dengan kadar yang berpatutan.
Walaubagaimanapun, Alpro Pharmacy iaitu rangkaian farmasi preskripsi terbesar di Malaysia, bekerjasama dengan Pakar Diet Alpro, Nor Anieza Binti Abas, telah mencuba resipi versi murtabak sayur yang mudah dan boleh disediakan di rumah.
Resipi ini sangat sesuai untuk dinikmati selepas berpuasa selama lebih 13 jam setengah di bulan Ramadan. Jom kita tengok apa bahan-bahan dan cara membuat murtabak sayur yang sihat ini.
BAHAN-BAHAN (untuk 6 biji)
250g isi ayam (dicincang)
6 keping kulit popia
2 biji telur (saiz B)
2 sudu makan rempah kari ayam/daging (dibancuh) 50g bunga kobis (dipotong kecil)
30g lada benggala (dipotong dadu)
25g lobak merah (dipotong dadu)
30g kobis (dipotong halus)
1 biji bawang besar (saiz sederhana) – dipotong dadu 1 ulas bawang putih (dihiris)
1 biji cili merah (pilihan) 3 batang daun sup
1 sudu kecil garam
1⁄2 kiub ayam
1 sudu kecil gula
2 sudu makan minyak masak Sedikit air
CARA-CARA BUAT MURTABAK :
- Panaskan minyak. Tumiskan bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau dan lembut.
- Masukkan rempah dan masak sehingga pecah minyak.
- Masukkan ayam, bunga kobis dan lobak merah. Tambahkan sedikit air. Masak sehingga ayam masak dan sayur empuk.
- Tambah perasa dengan kiub ayam, garam dan gula. Kacau sehingga sedikit kering.
- Masukkan kobis, lada benggala dan cili. Kacau sehingga rata.
- Sebelum diangkat, masukkan daun sup dan gaul.
- Pecahkan telur di dalam mangkuk kecil asing dan pukul sedikit.
- Angkat bahan yang dimasak tadi ke dalam mangkuk besar. Masukkan telur yang dipukul ke dalam dan gaul rata.
- Bentangkan kulit popiah di atas talam. Sudukan (3 sudu) inti tadi ke atas kulit popiah.
- Lipat kulit popia dengan cara melipat atas, bawah, kiri dan kanan.
Untuk memanggang murtabak seeloknya, gunakan kuali yang rata. Letakkan 1 sudu makan minyak secukupnya supaya murtabak tidak terlekat pada kuali. Panaskan kuali dan minyak dengan api perlahan. Letakkan murtabak di atas kuali. Tekan sedikit murtabak, terbalikkan, dan tekan sekali lagi sehingga murtabak masak dengan sekata.
Apabila sudah siap, murtabak tersebut boleh dihidangkan dengan kuah bawang.
RESIPI KUAH BAWANG:
1 biji bawang besar (dihiris)
2 sudu makan cuka makan
2 sudu kecil gula
Sedikit garam
CARA-CARA BUAT KUAH BAWANG MURTABAK:
Campurkan semua bahan dan gaul rata. Siap dihidang bersama murtabak.
Macamana! Mudah bukan? Jangan lupa untuk cuba buat resipi murtabak sayur yang sihat ni tau. Selamat Mencuba.