nd

Terapi Pemakanan Perubatan: Pengurusan Obesiti Yang Selamat Dan Mampan

By Alpro Pharmacy

October 10, 2024

Key Points

  • MNT yang dikendalikan oleh pakar diet bertauliah terbukti secara klinikal dan selamat untuk menguruskan obesiti melalui penjagaan pemakanan yang disesuaikan.

  • MNT fokus pada penurunan berat secara beransur melalui pemakanan seimbang tanpa diet ekstrem.

  • Susulan dengan pakar diet memberi bimbingan dan motivasi untuk mencapai matlamat dengan selamat.

Pada tahun 2023 negara kita mencatatkan rekod baharu tetapi bukan dalam kategori yang boleh kita banggakan. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, 1 daripada 2 rakyat Malaysia adalah obes atau mempunyai berat badan berlebihan. Pasti ramai yang sudah ketahui fakta ini, tetapi ramai lagi yang buntu tentang cara betul untuk menguruskan badan mereka. Tahukah anda kewujudan Terapi Pemakanan Perubatan atau Medical Nutrition Therapy (MNT) yang terbukti secara klinikal dapat mengawal obesiti? 

Medical Nutrition Therapy (MNT) alatan terbaik melawan obesiti

MNT ditakrifkan sebagai rawatan berasaskan pemakanan yang disediakan oleh pakar diet berdaftar atau lebih mesra dikenali sebagai dietitian. MNT dijamin selamat kerana disokong oleh kajian klinikal dan memberi kesan yang boleh dijangka serta dikawal.

Perjalanan mengurus obesiti bersama dietitian

Dalam sesi pertama bersama dietitian, biasanya mereka akan berkenalan dahulu dengan kita supaya dapat mengolah rawatan mengikut kesesuaian individu sambil berpandukan MNT. Dietitian akan berkongsi tentang pemakanan seimbang, kawalan saiz hidangan, dan kepentingan pelbagai nutrien.

Pemakanan yang seimbang dapat mengatur pengambilan kalori dengan menyediakan campuran nutrien makro (karbohidrat, protein, dan lemak) serta nutrien mikro (vitamin dan mineral) yang tepat. Ini memastikan kita mendapat cukup tenaga tanpa kalori berlebihan untuk penurunan berat badan, serta tidak meninggalkan apa-apa nutrien secara menyeluruh. 

Biar lambat asalkan selamat

Diet ekstrem atau terlalu ketat boleh menyebabkan penurunan berat badan yang cepat tetapi sukar untuk dikekalkan, dan boleh mengakibatkan kekurangan nutrien serta penambahan berat badan semula. MNT menitikberatkan penurunan berat badan sedikit demi sedikit selagi ia selamat dan boleh dikekalkan tanpa berasa terlalu stres untuk mengikut rejim diet yang tidak masuk akal.

Mengambil kira penyakit dan keadaan keseluruhan

Dengan kepakaran seorang dietitian, kehadiran penyakit yang berkait rapat dengan obesiti seperti kencing manis atau darah tinggi, kita tidak perlu resah kerana mereka arif dalam pengurusan diet mengikut keperluan dan pantang penyakit-penyakit ini.

Contohnya jika kita mempunyai diabetes, kita akan dibimbing untuk mengubahsuai diet untuk turun berat badan sambil mengawal gula darah. Pokoknya, dietitian yang berpegang kepada prinsip MNT akan sentiasa mementingkan keperluan setiap individu dan bukan sekadar pukul rata memberi arahan diet.

Pelan makan mengikut citarasa tetapi bermatlamat

Pelan makan yang diolah mengikut kesesuaian individu mengambil kira keperluan kalori spesifik berdasarkan faktor seperti usia, jantina, tahap aktiviti, dan metabolisme. Selain itu, dietitian mengambil kira latar belakang seseorang seperti waktu kerja, status kewangan, persekitaran tempat tinggal, budaya, dan lain-lain supaya dapat mencipta pelan yang menyeronokkan dan boleh diamalkan, supaya dapat menjamin kepatuhan dan mengurangkan kemungkinan kembali kepada tabiat makan yang tidak sihat.

Contohnya, dietitian anda boleh menyarankan alternatif untuk sumber protein yang sukar dicari di pasaraya berdekatan kerana mereka mempunyai ilmu mendalam tentang makanan dan nutrien yang terkandung. Bagi yang mempunyai diabetes, dietitian akan memastikan mereka cakna tentang karbohidrat terutamanya. Mereka jadi mahir dengan pertukaran karbohidrat iaitu cara mudah untuk mengukur jumlah karbohidrat dalam setiap jenis makanan; satu senduk rata nasi merupakan satu pertukaran karbohidrat, misalnya.

Sokongan dan pemantauan memberi semangat sepanjang perjalanan

Sesi susulan secara berkala dengan dietitian boleh membantu menjamin gol tercapai, mengubah pelan jika perlu, dan memberikan sokongan serta motivasi berterusan kerana perjalanan untuk mencapai berat badan unggul penuh onak dan duri untuk kebanyakan orang. Jangan risau, bimbingan seorang dietitian akan meringankan beban kita terutamanya dari segi mental kerana mereka akan menyediakan pelan yang terbaik dan selamat berpandukan MNT.

Itulah bezanya berbanding “diet coach online” yang tidak boleh dijamin nasihatnya berasaskan ilmu yang betul. Lebih lagi, mereka mungkin tidak ingin mengambil tanggungjawab sekiranya klien mereka mengalami komplikasi kesihatan akibat mengikut rejim diet yang tidak berasas.

Jadi, adakah anda berasa lebih yakin untuk memulakan perjalanan menurunkan berat badan? Rujuklah pakar pemakanan dan diet di Farmasi Alpro berdekatan anda! Marilah kita sama-sama memerangi obesiti demi kesihatan yang lebih baik dan masa depan yang lebih cerah.

Terokai E-Pharmacy

Rujuk kepada profesional kesihatan kami di Alpro E-Pharmacy jika anda mempunyai sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan. Alpro E-Pharmacy direka khas untuk memberikan kemudahan kepada semua, termasuk mereka yang ingin mendapatkan Konsultasi Ahli Farmasi Percuma atau Penghantaran Ubat pada Hari yang Sama tanpa perlu keluar dari rumah atau hotel yang selesa. Anda juga boleh menghantar ubat kepada orang yang anda sayangi tanpa sebarang kerumitan! Ahli farmasi kami sentiasa sedia membantu.

Jika anda memerlukan bantuan lanjut, anda sentiasa dialu-alukan untuk menggunakan perkhidmatan Alpro E-Pharmacy atau hubungi talian hotline kami 019-7021923

Penafian: Tiada kandungan di laman ini, tanpa mengira tarikh, boleh digunakan sebagai pengganti nasihat perubatan langsung daripada profesional kesihatan yang berkelayakan.

Generate Cart URL
Whatsapp