health

Suntikan vaksin batalkan puasa atau tidak?

By Alpro Pharmacy

March 2, 2024

Berpuasa di Bulan Ramadan adalah salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam di seluruh dunia.

Ketika melaksanakan Ibadah puasa seseorang itu haruslah menahan diri dari makan, minum dan melakukan hubungan seksual dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.

Kesemua umat Islam yang sihat tubuh badan dan tidak jatuh kedalam golongan yang diberikan pengecualian  untuk tidak berpuasa adalah wajib untuk melaksanakan ibadah ini.

Namun begitu, terdapat salah faham dan kekeliruan mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa terutama sekali kekeliruan terhadap prosedur-prosedur perubatan seperti ujian darah, suntikan ubat dan suntikan vaksinasi.

Bagaimana Ujian Darah atau Suntikan Ubat di lakukan?

Ujian darah dilakukan dengan mengambil darah menggunakan jarum suntikan. Di mana, jarum tersebut akan melalui lapisan kulit, lemak, otot dah terus ke saluran darah di mana tiada sebarang bahan dimasukkan ke dalam badan.

Manakala suntikan ubat boleh dilakukan melalui empat cara utama, iaitu melalui otot, kulit, lemak  atau melalui saluran darah. Secara khusus, untuk suntikan vaksin lazimnya diberikan melalui otot.

Harus diingatkan bahawa suntikan ubat mahupun vaksin tidak mengandungi zat-zat makanan yang boleh membatalkan puasa.

Bagaimana Puasa Boleh Terbatal?

Puasa boleh terbatal jika seseorang itu minum,makan,melakukan hubungan seksual atau memasukkan sesuatu melalui rongga badan yang sudah terbuka seperti mulut, hidung, anggota kelamin dan lain-lain di siang hari.

Pemberian nutrisi melalui saluran darah atau intravena sebaliknya boleh membatalkan puasa seseorang berbanding dengan prosedur pengambilan darah, pemberian ubat atau vaksin yang tidak mempunyai kesan sedemikian.

Kepentingan Ujian darah dan suntikan vaksin DLL

Ujian darah dilakukan untuk membantu perawat membuat diagnosis atau memantau penyakit yang sedia ada.

Sebagai contoh, untuk mengetahui sekiranya kawalan gula bagi pesakit kencing manis adalah baik atau tidak, seseorang pesakit itu haruslah menjalani ujian darah.

Menjalani ujian darah tidak membatalkan puasa kerana proses tersebut tidak melibatkan rongga badan yang terbuka dan tidak melibatkan pemberian apa-apa zat ke dalam badan.

Ujian ini adalah sangat penting untuk memelihara kesihatan seseorang agar  individu tersebut dapat melaksanakan ibadah puasa dengan lebih baik disamping memastikan bahawa ibadah puasa tidak memudaratkan kesihatan.

Manakala, suntikan samada vaksin atau ubat pula dilakukan untuk melindungi atau merawat penyakit yang sedia ada untuk memelihara kesihatan seseorang.

Di dalam Al-Quran sendiri telah dinyatakan bahawa memelihara nyawa sendiri adalah sangat-sangat penting, di mana setiap nyawa yang diselamatkan diibarat menyelamatkan seluruh bangsa manusia.

Kesimpulannya, ujian darah dan suntikan ubat atau vaksin tidak membatalkan puasa dan harus dilakukan untuk memelihara kesihatan diri sendiri agar kita dapat melakukan aktiviti harian dan beribadah dengan lancar.

Orang awam yang masih mempunyai pertanyaan atau kerisauan adalah digalakkan berjumpa dengan pegawai Kesihatan atau doktor untuk berbincang mengenai kesihatan mereka. Selain itu mereka juga digalakkan untuk merujuk kepada pernyataan mufti yang bertauliah sekiranya masih mempunyai kekeliruan mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, jangan ragu untuk menghubungi Alpro ePharmacy atau lawati Alpro Pharmacy terdekat. Pasukan kami yang terdiri daripada ahli farmasi, doktor, fisioterapis, pakar pemakanan, dan dietitian sedia membantu dan memberikan sokongan.

Generate Cart URL
Whatsapp