Mengikut Canadian Lung Association, seorang individu akan mengambil nafas lebih daripada 20, 000 kali sehari. Setiap nafas bergerak melalui saluran udara hingga sampai ke paru-paru, di mana ia memasuki 300 million kantung kecil untuk menghantar oksigen ke dalam darah (Canadian Lung Association, n.d.).
Untuk Ali, seorang kanak-kanak berumur 5 tahun yang mempunyai asma, 20, 000 nafas tidak berlaku semudah itu. Jika terjumpa dengan trigger atau ‘pencetus’ asma seperti seorang kucing yang comel, saluran udara yang sepatutnya menjadi laluan nafas itu akan menjadi sempit dan nafas terhenti.
Ibu Ali sangat risau kerana ibu mana yang mahu melihat muka anaknya kesesakan nafas?
Dia telah bertanya banyak orang tentang asma dan sekarang keliru dengan informasi yang diterima; ada yang kata tidak boleh bersukan sama sekali, ada yang cakap tak boleh menggunakan ubat inhaler terlalu kerap nanti jadi kurang efektif.
Pernah dengar tak mitos-mitos ini tentang asma?
Terdapat banyak kekeliruan dan tanggapan tentang asma atau penyakit lelah. Mari kita belajar untuk asingkan mitos dan fakta supaya kita lebih cakna tentang asma.
1. Bila kanak-kanak besar, asma akan hilang
Asma sering dianggap sebagai masalah untuk kanak-kanak, kerana ia selalunya memunculkan diri dalam kanak-kanak lalu hilang mengikut peredaran masa dan bukan lagi menjadi masalah apabila kanak-kanak itu sudah dewasa (Asthma Australia, 2012).
Tetapi tahukah anda, mengikut NHMS (2011), 5.6% daripada populasi Malaysia masih ada asma sewaktu dewasa? Asma boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan buat masa sekarang, asma belum lagi ada penawar. Ini bermaksud, walaupun sudah lama tidak dapat serangan asma, ia boleh kembali bila-bila sahaja, terutamanya jika terkena jangkitan pada saluran udara.
Namun dengan penggunaan inhaler dan gaya hidup yang sesuai, individu yang mempunyai asma juga boleh menjalani hidup aktif dan sihat tanpa gangguan.
2. Simptom asma adalah sesak nafas sahaja
Asal sesak nafas sahaja, kita fikirkan asma. Ya, sesak nafas adalah salah satu simptom atau tanda asma. Tetapi, asma juga boleh membuatkan seorang individu selalu terbatuk, terjaga waktu malam kerana susah untuk bernafas, mudah mendapatkan jangkitan saluran udara dan paru-paru, dan juga bernafas berbunyi (wheezing atau berdehit) (GINA, 2023).
Jika anda atau kenalan anda selalu mengalami sesak nafas dan tidak pernah ada sejarah asma, kunjungi doktor terdekat untuk rundingan lanjut kerana sesak nafas boleh menjadi simptom untuk banyak lagi masalah kesihatan, seperti masalah jantung atau jangkitan paru-paru.
3. Inhaler hanya digunakan bila sesak nafas sahaja
Betul!Inhaler jenis reliever atau inhaler biru memang patut digunakan bila perlu sahaja. Jika memerlukan inhaler reliever sangat kerap (lebih 2 kali seminggu), ini bermaksud asma tidak terkawal sepenuhnya (GINA, 2023) dan individu itu patut mengenal pasti apa trigger atau pencetus serangan asma, supaya boleh mengelak punca tersebut.
Disebabkan itu, doktor selalunya akan memberi 2 jenis inhaler; 1 sebagai “reliever” untuk digunakan ketika serangan asma dan 1 sebagai “maintenance” untuk digunakan setiap hari supaya saluran udara menjadi kurang sensitif dan kurang reaktif terhadap trigger/pencetus.
Inhaler maintenance pula haruslah diambil setiap hari seperti disarankan doktor supaya keradangan yang menyebabkan gejala asma semakin terkawal dan penyakit ini tidak mengganggu kehidupan harian. Jika sudah terkawal, dos boleh dikurangkan (GINA, 2023).
Ingat, inhaler reliever hanya melegakan kesempitan, bukan merawat keradangan yang berlaku di saluran udara. Semakin kerap inhaler reliever digunakan, makin tinggi untuk risiko untuk mendapat serangan sekali lagi kerana asma tidak terkawal dan trigger masih belum dikenal pasti.
Untuk mengelakkan kekeliruan dan memudahkan hidup, ada juga doktor yang akan memberi 1 jenis inhaler yang akan memainkan dua perananan- sebagai reliever dan untuk maintenance sekali gus, dikenali sebagai terapi SMART (single inhaler – maintenance and reliever therapy).
Inhaler dwi-fungsiini adalah pilihan yang lebih popular sekarang dan lebih diutamakan oleh Garis Panduan Pengurusan Asma atau GINA 2023 kerana cepat untuk melegakan kesesakan nafas dan boleh mengurangkan keterukan asma secara keseluruhan sebanyak 32% berbanding inhaler maintenance dan reliever biasa (GINA, 2023).
Jika anda mempunyai asma dan ingin mengetahui jika anda menggunakan inhaler reliever terlalu kerap, anda boleh menggunakan quiz ini, https://bit.ly/alpro_BreatheBetter dan tunjukkan kepada doktor anda.
4. Inhaler asma akan kurang efektif kalau digunakan selalu
Ini betul, inhaler biru atau inhalerreliever boleh menyebabkan ‘toleransi’ – suatu keadaan dimana badan kita sudah lali dan kurang memberi respons terhadap ubat tertentu.
Tetapi kalau lelah selalu, tak mungkin kita tidak menggunakan inhaler reliever untuk melegakan lelah kan?
Kerana itu, mengikut Garis Panduan Pengurusan Asma atau GINA 2023, penggunaan maintenance inhalersetiap hari sangat penting untuk mengawal gejala asma dan pastikan saluran udara tidak terlalu sensitif. Dengan ini, penggunaan inhalerreliever dapat dikurangkan dan ‘toleransi’ terhadap ubat ini boleh dielakkan kerana tidak digunakan dengan terlalu kerap.
Sekarang sudah jelas antara apa yang mitos dan apa yang fakta. Ia adalah sangat penting untuk kita mengenal apa gejala-gejala asma supaya individu yang belum didiagnos mendapat rawatan yang sepatutnya, dan individu yang mempunyai asma peka jika keadaan mereka terkawal atau tidak. Pendek kata, walaupun asma adalah penyakit kronik, ia boleh dikawal dengan penggunaan ubat dan aturan gaya hidup yang sesuai.
Asma bukan penghalang untuk hidup yang aktif dan sihat!
MY-11949_JUL2023
Imbas kod ini untuk mengetahui jika anda menggunakan inhaler reliever terlalu kerap