GERD Senyap: Mungkin Anda Tak Sedar Anda Menghidapnya
By Alpro Pharmacy
April 28, 2025
SHARE:
GERD Senyap (Silent Gastroesophageal Reflux Disease) adalah satu keadaan di mana asid perut naik ke esofagus TANPA gejala biasa seperti pedih ulu hati (heartburn) atau regurgitasi. Asid perut ini juga boleh naik ke bahagian larynx (peti suara) dan tekak – keadaan ini dikenali sebagai Refluks Laringofaring atau LPR (Laryngopharyngeal Reflux).
Di dalam satu kajian terhadap pesakit darah tinggi yang menghidap GERD, sebanyak 15.1% daripada mereka menghidap GERD senyap. Tapi ‘senyap’ di sini tidak bermaksud tiada simptom langsung — cuma simptomnya berbeza daripada GERD biasa dan sering tidak disedari oleh pesakit.
Tanda-Tanda GERD Senyap yang Sering Tidak Disedari
Mungkin anda pernah alami tanda-tanda ini tanpa mengetahui puncanya yang sebenar:
Batuk kronik yang berpanjangan
Suara serak atau berubah
Sakit tekak yang berulang dan berpanjangan
Rasa seperti ada sesuatu tersekat di kerongkong (globus sensation)
Kesukaran menelan (dysphagia)
Mulut berbau
Lendir berlebihan di kerongkong dan belakang hidung
Masalah pernafasan seperti asma
Punca GERD Senyap Sukar Didiagnosis Awal
Ada beberapa sebab mengapa GERD senyap sukar dikesan dengan lebih awal. Antaranya adalah:
1) Ketiadaan Pedih Ulu Hati
Pedih ulu hati adalah salah satu simptom utama untuk penyakit GERD. Ketiadaan simptom ini dalam pesakit GERD senyap menyebabkan pesakit tidak tahu yang mereka sebenarnya menghidap GERD.
2) Simptom Bertindih Dengan Penyakit Lain
Seringkali GERD senyap tidak dapat dikesan awal kerana simptom yang dihadapi pesakit juga terdapat pada pelbagai penyakit lain. Contohnya simptom batuk, sakit tekak dan suara serak juga adalah simptom untuk jangkitan pada saluran pernafasan bahagian atas (Upper Respiratory Tract Infection). Simptom mulut berbau dan lendir berlebihan di belakang hidung dan kerongkong boleh disalahtafsir sebagai symptom resdung. Pesakit GERD senyap juga ada yang menghidapi symptom yang hampir serupa dengan penyakit lelah seperti batuk dan kesukaran untuk bernafas, menjadikan proses diagnosis lebih mencabar untuk pesakit.
3) Ketiadaan Simptom
Ada juga individu yang menghidap GERD senyap tapi tidak mengalami sebarang simptom yang memerlukan rawatan atau rujukan kepada doktor, menjadikan mereka tidak sedar akan keadaan tersebut sehingga masalah yang lebih serius timbul.
Bahaya GERD Senyap Jika Tidak Dirawat
Jika tidak dirawat untuk jangka masa yang panjang, GERD Senyap akan menyebabkan esofagitis (keradangan pada esofagus) dan risiko kanser esofagus. Refluks laringofaring (LPR) yang tidak dirawat pula boleh menyebabkan kecederaan pada peti suara dan jangkitan pada paru-paru seperti pneumonia akibat daripada refluks asid yang sudah masuk ke dalam paru-paru.
Lebih malang lagi, disebabkan oleh kurangnya kesedaran tentang GERD senyap, ramai pesakit hanya menerima diagnosis yang tepat selepas berminggu-minggu atau berbulan-bulan mereka menghidap simptom GERD senyap. Sepanjang tempoh tersebut, rawatan yang diterima pula mungkin tidak berkesan atau tidak sesuai untuk keadaan sebenar mereka.
Ya, GERD Senyap Boleh Dirawat!
GERD senyap boleh dirawat dengan perubahan gaya hidup, pemakanan dan juga bantuan ubat-ubatan.
1) Perubahan Gaya Hidup & Pemakanan
Kurangkan makanan pedas, berlemak, minuman bergas & kafein. Lebihkan sayur-sayuran, buah-buahan dan protein di dalam diet anda. Terdapat juga kajian yang menunjukkan impak positif dari mereka yang mengamalkan diet Mediterranean terhadap simptom GERD. Jika anda tidak pasti tentang pemakanan yang boleh menyebabkan GERD, dapatkan nasihat dari pakar pemakanan.
Berhenti merokok kerana asap rokok akan menyebabkan simptom GERD senyap anda menjadi lebih teruk. Dapatkan nasihat dari ahli farmasi untuk servis berhenti merokok.
Gunakan bantal tambahan atau pelapik untuk meninggikan kepala anda. Ini bagi mengelakkan refluks asid naik semasa tidur.
2) Ubat-Ubatan
Antara ubat yang biasa digunakan untuk merawat GERD senyap termasuklah Proton Pump Inhibitors (PPIs) seperti omeprazole dan pantoprazole yang berfungsi untuk mengurangkan penghasilan asid perut. Selain itu, antasid juga boleh membantu meneutralkan asid perut dan memberikan kelegaan segera. Ubat yang mengandungi alginates pula membentuk satu lapisan pelindung di dalam esofagus bagi mengurangkan kerengsaan akibat asid yang naik dari perut.
Ambil tahu dan kenal pasti hari ini jika simptom yang menggangu anda selama ini adalah simptom GERD senyap atau tidak. Dapatkan nasihat dari ahli farmasi Alpro untuk rawatan yang sesuai untuk masalah anda.
Cui, N., Dai, T., Liu, Y., Wang, Y. Y., Lin, J. Y., Zheng, Q. F., Zhu, D. D., & Zhu, X. W. (2024). Laryngopharyngeal reflux disease: Updated examination of mechanisms, pathophysiology, treatment, and association with gastroesophageal reflux disease. World journal of gastroenterology, 30(16), 2209–2219. https://doi.org/10.3748/wjg.v30.i16.2209
Lu C. L. (2012). Silent gastroesophageal reflux disease. Journal of neurogastroenterology and motility, 18(3), 236–238. https://doi.org/10.5056/jnm.2012.18.3.236
Mone, I., Kraja, B., Bregu, A., Duraj, V., Sadiku, E., Hyska, J., & Burazeri, G. (2016). Adherence to a predominantly Mediterranean diet decreases the risk of gastroesophageal reflux disease: a cross-sectional study in a South Eastern European population. Diseases of the esophagus : official journal of the International Society for Diseases of the Esophagus, 29(7), 794–800. https://doi.org/10.1111/dote.12384
Suyu, H., Liu, Y., Jianyu, X., Luo, G., Cao, L., & Long, X. (2018). Prevalence and Predictors of Silent Gastroesophageal Reflux Disease in Patients with Hypertension. Gastroenterology research and practice, 2018, 7242917. https://doi.org/10.1155/2018/7242917