pharmacist

Asma: Jangan Tertipu Dengan Mitos – Nafas Anda Bergantung Padanya!

By Alpro Pharmacy

April 28, 2025

Walaupun asma merupakan salah satu penyakit kronik yang biasa, masih ramai yang salah faham cara menguruskannya. Akibatnya? Serangan asma berulang, gejala yang sukar dikawal, dan kualiti hidup yang merosot.

Jom kita sama-sama bongkar mitos-mitos tentang asma dan pastikan kita uruskan asma dengan cara yang betul 💡

❌ MITOS 1: Asma Hanya Berlaku Pada Kanak-Kanak

Ramai anggap hanya budak-budak saja ada asma — sedangkan orang dewasa pun boleh mula alami asma buat kali pertama!

Kajian menunjukkan asma boleh muncul pada bila-bila masa dalam hidup, dan selalunya lebih sukar dikawal jika tidak dirawat dengan betul dari awal.

❌ MITOS 2: Guna Inhaler Hanya Bila Diserang

Inhaler bukan sekadar ‘alat kecemasan’. Asma ialah keradangan kronik saluran pernafasan, jadi rawatan harian amat penting untuk mencegah serangan.

Kalau hanya guna inhaler bila semput atau batuk, itu umpama padam api tanpa tutup dapur gas.

Inhaler kawalan seperti ICS (inhaler kortikosteroid) perlu diambil setiap hari, walaupun tiada gejala, untuk mengawal keradangan dan mencegah serangan pada masa hadapan

❌ MITOS 3: Inhaler Menyebabkan Ketagihan

Ramai bimbang akan “bergantung” pada ubat asma – sebenarnya, inhaler kawalan tidak menyebabkan ketagihan langsung. Ia telah terbukti selamat dan berkesan, asalkan digunakan ikut saranan doktor.

Yang lebih merbahaya ialah tidak ambil ubat langsung kerana percaya mitos ini!

❌ MITOS 4: Boleh Hentikan Ubat Bila Dah Rasa Sihat

Jangan tertipu dengan rasa lega sekejap. Walaupun tiada simptom, keradangan dalam paru-paru mungkin masih ada.

Hentikan ubat secara tiba-tiba boleh menyebabkan serangan asma semula, malah lebih teruk. Jadi, pastikan anda berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sebelum buat sebarang perubahan pada rawatan.

❌ MITOS 5: Senaman Bahaya Untuk Penghidap Asma

Hakikatnya, senaman sangat baik untuk paru-paru dan kesihatan jantung! Memang ada yang alami asma semasa bersenam, tapi ia boleh dikawal dengan persediaan dan ubat yang betul.

Jangan biarkan asma hadkan gaya hidup anda. Bersenam secara aktif boleh bantu kuatkan paru-paru dan kurangkan gejala asma.

✅ TEKNIK PENGGUNAAN INHALER YANG BETUL – KUNCI KAWALAN ASMA

Tahu tak? Ramai pesakit guna inhaler dengan cara yang salah, menyebabkan ubat tak sampai ke paru-paru 😰

Beberapa kesalahan biasa:

  • Tak sedut dalam-dalam
  • Tak selaraskan masa tekan & sedutan (bagi MDI)
  • Tak sedut kuat (bagi DPI)
  • Tak bilas mulut selepas guna ICS

⚠️ Akibatnya? 

  • Ubat terkumpul di mulut → boleh sebabkan kulat (oral thrush), suara serak, atau sakit tekak, terutama dengan penggunaan kortikosteroid penyedut (ICS).
  • Kawalan asma jadi lemah → lebih mudah kena serangan

👉 Gunakan spacer jika perlu, bilas mulut, dan minta demo daripada ahli farmasi anda!

🚨 Tanda-Tanda Asma Anda Tidak Terkawal

Awasi simptom berikut:

  • Sesak nafas, batuk atau berdehit lebih 2 kali seminggu
  • Bangun malam kerana batuk atau semput
  • Perlu guna inhaler penyelamat (biru) lebih 2 kali seminggu
  • Sukar bersenam atau buat aktiviti harian
  • Kerap kena serangan hingga perlu jumpa doktor atau masuk hospital
  • Bacaan peak flow meter menurun daripada biasa

Jika anda mengalami salah satu daripada tanda-tanda ini, jangan tunggu lagi! Lakukan penilaian mudah di https://mysihatpal.com.my/service/asthma_assessment/

Mungkin ini adalah masa untuk semak semula rawatan anda!

💬 Dapatkan Bantuan – Jangan Tunggu Sampai Serangan Berlaku

Asma boleh dikawal – dan hidup anda akan jadi lebih baik bila ia terkawal.
✅ Ikut rawatan harian
✅ Guna inhaler dengan betul
✅ Dapatkan sokongan dari ahli farmasi dan doktor

Jangan biar asma kawal hidup anda.
👉 Biarlah anda yang kawal asma!

Rujukan

  • Global Initiative for Asthma (GINA). (2024). Global Strategy for Asthma Management and Prevention. [Link](https://ginasthma.org)
  • National Heart, Lung, and Blood Institute (NHLBI). (2022). Asthma Care Quick Reference: Diagnosing and Managing Asthma. [Link](https://www.nhlbi.nih.gov)
  • Lambrecht, B. N., Hammad, H., & Fahy, J. V. (2019). The immunology of asthma. Nature Immunology, 20(2), 125-133. [doi:10.1038/s41590-018-0270-1](https://doi.org/10.1038/s41590-018-0270-1)
  • Allergy & Asthma Network. (n.d.). Myths about asthma. Allergy & Asthma Network. Retrieved March 30, 2025, from https://allergyasthmanetwork.org/news/myths-about-asthma/
  • CPG Management of Asthma in Adults,  2017
  • Roche, N., Aggarwal, B., Boucot, I., Mittal, L., Martin, A., & Chrystyn, H. (2022). The impact of inhaler technique on clinical outcomes in adolescents and adults with asthma: A systematic review. Respiratory Medicine, 202, Article 106121. https://doi.org/10.1016/j.rmed.2022.106121
Generate Cart URL